Friday, January 7, 2011

Hendak lari dari masalah??itu bukan penyelesaiannya..

Manusia dan masalah, adalah ibarat saudara kembar. Tiada manusia yang hidup tanpa masalah. Cuma, dia hendak mempamerkan masalahnya, atau tidak sahaja. Kebanyakan orang, apabila menghadapi masalah, dia sukar hendak mengekalkan ketenangannya. Hal ini membuatkan manusia banyak mengambil jalan penyelesaian yang silap. Lebih buruk lagi, ada yang terlalu tertekan, hingga bertindak menamatkan nyawa sendiri.

Kenapa?

Sebab bila ada masalah, atau terbeban dengannya, manusia yang tidak sabar, biasanya hanya akan nampak satu sahaja jalan penyelesaian. Melarikan diri dari masalah. Adakah konsep ini benar?

Siapa saja pernah menghadapi masalah sedemikian. Terlalu banyak masalah bertimbun di hadapan kita , sehingga kita rasa agak tertekan untuk terus berurusan dengan masalah-masalah kita . Ketika itu, kita hanya nampak satu perkara: Melarikan diri dari masalah. Kita berhajat meletakkan jawatan kita sebagai pengawas sekolah ketika itu. Akhirnya, kita bertemu dengan guru kaunseling .....apa yang dia cakap?

“ Awak nak berhenti? Awak tahu tak, manusia yang sering berenang melawan ombak, otot tangannya akan semakin lama semakin kuat?”

Ketika itu, kita macam nampak celahan sinar yang menyenangkan.

Masalah sebenarnya, bukanlah untuk kita melarikan diri darinya. Tetapi, adalah untuk kita berusaha menyelesaikannya. Masalah hakikatnya tidak akan selesai, atau hilang, jika kita sekadar melarikan diri darinya.

Contoh, seorang pelajar tertekan dengan kerja rumahnya yang banyak. Akhirnya dia membuat keputusan untuk tidur kerana terlalu tertekan. Tidur kalau sekadar sepuluh hingga dua puluh minit, tidak mengapa lagi. Tetapi tidur sehingga tidak buat langsung kerja-kerjanya. Apa yang akan jadi pada pelajar ini?

Ya, dia mungkin bermimpi indah, dia mungkin akan rasa tenang dalam tidurnya, tetapi, bila dia membuka matanya, apakah yang akan dia hadapi? Kerja rumahnya yang bertimbun banyak, dan masa yang telah tinggal sedikit, serta hukuman dari guru yang menanti jika kerja rumah itu tidak disiapkan.

Lihat, bukankah melarikan diri dari masalah itu hanya mengundang keburukan? Itu dalam masalah kerja sekolah, bayangkan kalau masalah itu berkenaan negara, atau berkenaan kehidupan kita, bagaimana agaknya? Mungkin konsikuensinya lebih besar jika kita melarikan diri. Maka, lebih baik kita hadapinya dengan usaha, dan cuba menyelesaikannya.

Berbanding bila kita gagal dalam usaha, dengan tidak berusaha langsung, maka tidak berusaha langsung itu lebih teruk. Hal ini kerana, kita tidak mencuba langsung. Kemungkinan untuk berjaya itu masih ada, walaupun mungkin hanya 0.0001%. Tetapi, kalau kita langsung tidak berani untuk berusaha menyelesaikannya, walaupun kemungkinan untuk berjaya adalah 99.9999%, kita telah menukarkan persen itu kepada 0%.

Jika kita gagal, atau tidak dapat menyelesaikan masalah kita, atau kita mampu selesaikannya, semua itu akan menambah pengalaman kita untuk kita hadapi masa hadapan. Kemungkinan, ada masalah lain, ataupun masalah yang lebih kurang serupa, akan kita hadapi. Jadi, dengan pengalaman berhadapan dengan masalah, dan cuba untuk menyelesaikannya, kita akan mampu menghadapi masalah pada masa akan datang itu denngan baik.

Kata-kata orang yang memberi pendapat dan pandangan pada hakikatnya memberi kesan yang besar dalam kehidupan. Pada kita , kata-katanya itu amat bermakna untuk kita renung-renungkan.

Dari menjadi seorang yang pengecut, dan langsung tidak berani berhadapan dengan masalah, lebih baik kita menjadi seorang yang berani, dan tidak takut untuk gagal.

Kita ini, bertanggungjawab untuk berusaha, dan natijahnya adalah daripada ALLAH SWT. Jika kita berhenti berusaha dari menyelesaikan masalah, apakah beza kita dengan mereka yang tidak percaya akan kebaikan natijah pemberian ALLAH SWT?

“ …dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH, sesungguhnya tiadalah yang berputus asa dari rahmat ALLAH melainkan orang-orang kafir” Surah Yusuf ayat 12.

CARA MENGATASI MASALAH

1. Sandarkan Harapan Pada Allah

Setiap ujian yang datang sebenarnya mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Yakinlah bahawa setiap kesusahan yang kita tempuhi pasti akan diganti dengan kesenangan. Ini bersesuaian dengan firman Allah dalam surah al-Nasyrah ayat 1hingga 8 yang antara lain maksudnya “ …Sesungguhnya selepas kesulitan itu pasti ada kemudahan….”

"Cukuplah Allah bagiku. Tidak ada Tuhan selain dari-Nya. Hanya kepada-Nya aku bertawakal."( At-Taubah: 129)

2. Minta Pertolongan Dari Allah

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan yang sabar dan dengan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." ( al-Baqarah: 45)

3. Jangan Sedih dan Kecewa"

Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman." ( al-Imran:139)

Yakinlah dengan janji Allah itu dan jangan cepat putus asa dengan masalah yang dihadapi sebaliknya tingkatkan usaha dan kuatkan semangat untuk mengatasinya, lihat maksud firman Allah di bawah:

“ ...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir”( Yusuf : 12)

4. Luahkan masalah tersebut pada teman-teman yang dipercayai,

walaupun dia mungkin tidak dapat membantu, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang kamu tanggung.

5. Bandingkan masalah kita dengan masalah orang lain,

mungkin masalah orang lebih besar dari masalah kita, perkara ini juga boleh membuatkan kita lebih tenang ketika menyelesaikan masalah.

Ujian yang datang juga tandanya Allah sayangkan kita. Jadi ambillah masa untuk menilai diri dan meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dalam apa jua yang kita lakukan. Lakukanlah untuk mencari redha Allah. Fikir dengan positif bahawa setiap dugaan datang dari Allah dan pasti ada hikmah yang tersendiri.

-LA-

No comments: